follow dashboard

Selasa, 14 Mei 2013

Tabahlah..Dugaan !

Bismillahhirahmannirrahim.. Assalamualaikum..



Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia 
sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi 
terbesar adalah takdir Allah. 
Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian 
samada secara langsung dari Allah atau melalui orang 
lain, kita mula melatah.

Terasa Allah tidak adil, 
sengaja hendak menyusahkan kita. 
Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian 
hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. 

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan 
sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik 
sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, 
mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan 
Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan 
sebagainya.
Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu 
memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan 
menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita 
menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan 
membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang 
sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang 
datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah 
diterimanya.

Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang 
yang paling kita sayangi. Ujian ini sengaja 
didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa 
untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa 
kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa 
bangga diri.

Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa 
beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai 
hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih 
belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat 
meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan 
kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin 
bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan 
Allah. Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang 
kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang 
sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau 
marah-marah pada Allah, insyaAllah ganjarannya di 

syurga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan